Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Sazali Muhd. Din berkata, perbincangan itu perlu diadakan bagi kerajaan mendapat maklum balas semua agensi dan jabatan terlibat iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) berhubung aduan segelintir penduduk mengenai masalah pencemaran.

Katanya, ketika ini beliau dimaklumkan oleh JAS negeri bahawa dakwaan pencemaran itu masih dalam keadaan terkawal namun ada pihak yang sengaja menggembar-gemburkan isu ini untuk kepentingan peribadi.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan JAS dan JPS untuk mengambil tindakan yang perlu berhubung aduan mengenai isu pencemaran di sungai, laut dan pantai di negeri ini dan setakat ini saya dimaklumkan bahawa keadaan di Sungai Tuang adalah terkawal.

“Bagi memastikan isu ini diatasi, kerajaan melaksanakan pendekatan berhemah iaitu mengambil tindakan secara berperingkat-pe­ringkat di mana kita tidak bertindak secara emosi kerana ia melibatkan perkara sensitif iaitu najis babi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia peringkat negeri di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 50 penduduk dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menye­rahkan memorandum bantahan mendakwa berlaku pencemaran air dan najis babi dari beberapa kawasan ternakan haiwan itu di sekitar Sungai Tuang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman yang menerima memorandum itu memaklumkan kerajaan negeri akan membawa usul mengenai penguatkuasaan Kaedah Pe­lesenan Babi 2017 dalam menangani isu pencemaran bau dan air yang berlaku di sekitar pantai Sungai Tuang dan Telok Gong.

Mengulas lanjut, Sazali berkata, tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa termasuk PBT sekiranya mendapati terdapat pengusaha yang melaksanakan penternakan babi tanpa lesen atau tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan negeri bukan tidak bertindak mengatasi masalah pencemaran itu yang sudah berlarutan sejak sekian lama namun ia perlu dilaksanakan secara bijak bagi memberikan hasil menang-menang kepada pengusaha ternakan dan juga orang ramai.

“Tindakan tegas tetap akan diambil tetapi kerajaan ne­geri bukannya tidak mengambil tindakan atau berdiam diri berhubung masalah ternakan babi di kawasan itu. Hasil mesyuarat nanti dijangka diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berhubung langkah terbaharu akan diambil kerajaan negeri,” katanya lagi.