Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, menerusi amalan membaca ia dapat meningkatkan ilmu dan pengetahuan selain memantapkan pemahaman terhadap kehidupan.

Katanya, setiap buku yang dibaca itu juga perlu difahami sepenuhnya bagi membolehkan masyarakat dapat memahami keseluruhan isi kandungan dan maklumat yang di­sampaikan.

“Membaca juga membuka minda masyarakat untuk berfikir secara kritis dan sistematik di samping perlu didedahkan dengan karya-karya bermutu tinggi dalam pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia yang mewakili pemikiran intelektualisme sesuatu bangsa dalam kehidupan.

“Namun begitu dalam dunia hujung jari pada masa kini, masyarakat juga perlu bijak membezakan bahan bacaan fakta atau fitnah supaya ia tidak mempengaruhi pemikiran pembaca melakukan perkara negatif dan membawa keburukan kepada masyarakat dan juga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Melaka 2015 di Kompleks Me­laka Mall, Ayer Keroh di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam), Datuk Amirudin Yusof dan Pengarah Perpustam, Mohamed Aizamuddy Mohamed Idris.

Dalam pada itu, Idris berkata, pihaknya melihat program seperti itu perlu diadakan secara berterusan bagi memupuk tahap pembacaan dalam kalangan masyarakat sekali gus menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan rakyatnya berminda kelas pertama seiring dengan misi dan visi membangunkan Melaka Maju Fasa Kedua.

Pesta Buku 2015 selama tiga hari itu merupakan tahun keempat penganjurannya oleh Perpustam yang turut mendapat penyertaan daripada penerbit dan pembekal buku tempatan.

Pelbagai acara sampingan turut diadakan seperti pertandingan mewarna, bercerita, nasyid, tulisan khat, bacaan jawi lancar dan banyak lagi selain penampilan istimewa karikatur Upin dan Ipin.