Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, penglibatan Utem dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan membuktikan bahawa universiti itu bukan sebagai institusi pengajian yang elit sebaliknya menerima kehadiran masyarakat luar untuk turut serta dalam pelbagai program yang diatur.

Katanya, lepasan dari Utem sebaik sahaja tamat pengajian kelak juga akan masuk ke dalam kumpulan masyarakat dan untuk itu langkah Utem membuka pintu kepada orang luar untuk melihat sendiri kejayaan yang dicapai sejak penubuhannya harus dipuji.

“Sebagai contoh saya lihat Masjid Utem yang digunakan di dalam kampus ini turut dibuka kepada masyarakat termasuk penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal dan begitu juga majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan hari ini turut mengundang kumpulan masyarakat dari luar.

“Untuk itu Utem perlu terus berperanan menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang memasyarakatkan universiti dan pada masa yang sama meuniversitikan masyarakat, bila ada dua gabungan ini kita dapat bergabung mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Mahabbah Aidilfitri anjuran Utem di kampus induk universiti itu di Durian Tunggal di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Utem, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Lebih 5,000 tetamu terdiri daripada pelajar universiti, ka-kitangan, pensyarah, kakita­ngan pengurusan dan masyarakat luar kampus hadir memeriahkan maj­lis.

Sementara itu, Shahrin ber­kata, Utem selama ini berusa­ha merealisasikan hubungan baik antara pihak universiti dan masyarakat luar dengan meng­anjurkan pelbagai program untuk membudayakan amalan memasyarakatkan universiti dan me­universitikan masyarakat.