Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dilihat sebagai sebuah lokasi yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan usaha itu dianggap tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Saya yakin sebuah pertumbuhan bandar baharu akan berlaku di Asahan dan ia mampu menjadi kenyataan kerana sebelum ini orang tidak pernah menyangka Putrajaya yang dahulunya sebuah kawasan estet mampu bertukar menjadi pusat pentadbiran kerajaan.

“Kemajuan Melaka dalam tempoh beberapa tahun akan datang bakal `mendesak' sehingga meliputi bandar Melaka dan kawasan lain seperti Jasin dan sekitarnya. Limpahan pembangunan itu akan mencari satu kawasan baharu dan saya percaya Asahan mampu menjadi salah satu titik pembangunan baharu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke DUN Asahan di sini hari ini. Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Fadilah Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan dan para pemimpin tempatan.

Menurut Idris, beliau meletakkan kepercayaan kepada pemimpin kawasan DUN Asahan iaitu Abdul Ghafaar untuk mencari pelabur dan pengusaha yang berminat untuk melabur di kawasan tersebut apabila pembinaan bandar baru itu menjadi kenyataan.

“Proses mewujudkan sebuah bandar baru ini masih di peringkat awal namun kita percaya penduduk di kawasan ini tidak akan mempunyai masalah apabila kerajaan negeri akan membuat proses pengambilan tanah di mana-mana lokasi yang difikirkan sesuai kelak.

“Saya juga menyeru kepada mereka yang berminat untuk membeli hartanah di kawasan ini supaya berbuat demikian sekarang kerana sebaik sahaja kawasan ini dimajukan, nilai tanah akan menjadi tinggi dan saya percaya Asahan akan mampu berkembang sebagai sebuah pusat bandar dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Idris turut merasmikan Majlis Pecah Tanah pembinaan Masjid Tun Mohd. Khalil Yaakob bernilai RM7 juta yang dijangka siap pada penghujung tahun 2016.

Masjid tersebut yang dijangka mampu memuatkan sejumlah 1,500 jemaah pada satu-satu masa akan menggantikan Masjid Al-Bukhari di Asahan yang bangunannya sudah uzur dan memerlukan pengubahsuaian yang banyak sekiranya mahu dibaik pulih.

Idris sebelum itu turut merasmikan Jambatan Penghulu Haji Haron sepanjang kira-kira 24 meter yang menghubungkan Jalan Sungai Dua dan pekan Asahan.

Menurut beliau, jambatan bernilai kira-kira RM2.5 juta itu merupakan simbolik kepada usaha yang dilakukan oleh bapanya iaitu Allahyarham Haron Hashim yang merupakan bekas penghulu dan banyak membantu penduduk di sekitar Asahan. Turut hadir, ibu Idris, Rokiah Hassan dan kakak Idris, Rashidah.