Md. Rashid Hussin
Md. Rashid Hussin

Daripada jumlah itu, sebanyak 813 calon atau 66.21 peratus berjaya memperoleh empat Prinsipal (4P) iaitu meningkat sebanyak 3.58 peratus berbanding 62.62 peratus yang dicatatkan pada tahun 2013.

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Datuk Md. Rashid Hussin berkata, peratusan itu juga mengatasi peratus peringkat nasional apabila sebanyak 2.14 peratus memperoleh 4P iaitu 64.07 peratus.

“Gred Purata Negeri menunjukkan peningkatan 0.09 mata daripada 2.62 pada tahun 2013 kepada 2.71 iaitu peningkatan sebanyak 3.43 peratus.

“Pada hemat saya, keputusan peperiksaan STPM tahun 2014 adalah yang terbaik dalam tempoh tujuh tahun dari segi Gred Purata Negeri,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2014 di Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md. Rashid berkata, dari segi kualiti, calon yang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 di seluruh negeri ini ialah seramai 12 orang.

Katanya, daripada 12 calon yang mendapat keputusan cemerlang itu, lima daripada mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, empat dari SMK Tinggi Melaka dan masing-masing seorang dari SMK Gajah Berang, SMK Tun Haji Abdul Malek dan SMK Iskandar Shah.

Pada tahun lalu juga katanya, sebanyak 18 buah sekolah berjaya memperoleh keputusan 100 peratus lulus penuh berbanding 13 buah sekolah pada tahun 2013.

Kesemua sekolah tersebut kata beliau adalah SMK Datuk Haji Talib Karim, SMK Yok Bin, SMK Datuk Abdul Rahman Yakub, SMK Munshi Abdullah, SMK Seri Kota, SMK Bukit Baru, SMK Iskandar Shah, SMK Gajah Berang.

Turut mendapat keputusan 100 peratus lulus penuh adalah SMK Tinggi Perempuan Melaka, SMK Sultan Alauddin, SMK Seri Tanjung, SMK Tun Haji Abdul Malek, SMK Infant Jesus Convent, SMK Dang Anum, SMK Datuk Dol Said, SMK Lubok China dan SMK Ghafar Baba.

“Keputusan STPM tahun 2014 juga menunjukkan 11 mata pelajaran meningkat dari segi peratus calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu A dan A-. Peratus lulus penuh bagi 14 mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan antara 1.1 hingga 12.2 peratus.

“Peningkatan peratus calon yang memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas dari 32.25 peratus pada 2013 kepada 37.52 peratus tahun 2014 menunjukkan bahawa format Pentaksiran Baharu STPM ini memberi kelebihan kepada calon yang menyerlah dalam potensi dalam diri masing-masing,” jelas beliau.