Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Maslina Baki berkata, Melaka kini giat ke arah pelaksanaan teknologi hijau malah telah dikenali antara negeri yang pa­ling aktif melaksanakan amalan tersebut di pelbagai peringkat.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi bagi memperkasakan teknologi hijau di negeri ini di­sebabkan tenaga mahir dalam kalangan rakyat tempatan yang masih kritikal.

“Sehubungan itu, kita akan mengadakan kerjasama dengan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang telah memulakan kursus berkenaan dalam usa­ha mencapai hasrat meningkatkan bilangan tenaga mahir dalam bidang teknologi hijau.

“Kerjasama itu diharap dapat membantu kerajaan negeri untuk melatih tenaga-tenaga mahir tempatan dari peringkat awal dan seterusnya dapat menyumbang kepakaran kepada pembangunan sektor tersebut di ne­geri ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari merasmikan Program Gerbang Kerjaya Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Selatan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS, Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof dan Pe­ngarah IKTBN Alor Gajah, Syamsul Tahrin Mohd. Tahir.