Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata pihaknya mendapati hanya tiga muzium 'positif' yang menjana pendapatan kira-kira RM200,000 setakat Oktober lepas iaitu Muzium Stadthuys dan Muzium Kapal Samudera di Bandar Hilir serta Muzium Kapal Selam di Klebang.

Beliau berkata antara langkah diambil bagi menangani isu tersebut termasuk menjalin kerjasama dengan pihak swasta dalam bentuk konsesi agar muzium-muzium yang mencatatkan pendapatan rendah dapat dibantu seterusnya tidak dipinggirkan.

"Kerjasama swasta ini akan dilakukan dalam bentuk konsesi dan bukan menjual kerana kita tidak akan sesekali menjual aset kerajaan.

"Selain itu, kita juga akan menstruktur semula kedudukan muzium agar (berada) dalam satu kawasan bagi memudahkan pelawat datang berkunjung berikutan terdapat muzium-muzium dalam keadaan 'berselerak' (tidak teratur)," katanya.


Muhammad Jailani berkata demikian kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut meletakkan harapan tinggi agar dondang sayang diiktiraf ataupun diwartakan di bawah butiran warisan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (UNESCO) bagi menarik minat generasi muda agar muzik tersebut terus relevan.

Beliau berkata pihaknya berhasrat memberi rangsangan kepada kerajaan negeri dalam membangunkan industri dondang sayang ke arah lebih moden dan Islamik sekali gus meningkatkan imej negara ini di persada dunia selain memperkasa Institusi Seni Malaysia Melaka.

"Sekiranya Dondang Sayang ini berjaya diiktiraf pihak UNESCO, maka kita akan berusaha memohon peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan industri ini sama ada berbentuk moden atau pun Islamik," katanya. - BERNAMA