CTS dan sistem operasi terminal (TOS) yang diper­kenalkan di Melaka Sentral sejak awal bulan ini menjadikan terminal itu yang kelima di negara ini melaksanakan sistem tersebut, sekali gus menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan taraf kemudahan di semua terminal bas di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, antara langkah yang diambil oleh syarikat pengendali terminal iaitu Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) adalah menambah bilangan kaunter jualan tiket manual daripada lapan kepada 10 unit dan me­ningkatkan jumlah mesin jualan layan diri daripada 10 kepada 20 unit dalam tempoh sebulan.

“Selain itu, MSSB juga mengambil kira rungutan penumpang yang sebelum ini terpaksa beratur panjang, tiada kaunter khas untuk warga emas atau orang kurang upaya dan permasalahan ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Tempoh percubaan CTS dan TOS ini juga akan digunakan untuk MSSB menaik taraf kemudahan tempat duduk daripada 100 kepada 350 unit, mewujudkan pagar keselamatan di luar terminal serta me­ngadakan pelbagai acara untuk menjadikan penumpang tidak jemu menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi pelaksanaan CTS dan TOS di Melaka Sentral selepas enam hari pelaksanaannya di sini. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah MSSB, Nazri Abu Kasim dan Pengurus Besar MSSB, Md. Yusof Abdullah.

Kerajaan negeri sebelum ini menetapkan 1 Mac untuk memulakan pelaksanaan sistem tersebut di terminal itu sebagai usaha menjadikan Melaka Sentral sebagai salah satu terminal bas yang dilengkapi kemudahan terkini, bersesuaian de­ngan imej negeri pelancongan.

Menurut beliau, dianggarkan seramai 3,000 penumpang menggunakan terminal tersebut pada hari-hari biasa dan jumlah itu meningkat kepada 4,500 orang pada waktu puncak iaitu hujung minggu atau cuti sekolah.

Melaka Sentral juga katanya diharap dapat menerima aliran keluar masuk bas yang lebih tinggi berikutan pelaksanaan sistem ini di mana semua bas kini boleh masuk ke terminal mengikut kekosongan berdasarkan sistem TOS dan bukan pendaftaran syarikat seperti sebelum ini.

“Sepanjang beberapa hari ini, pasti akan berlaku sedikit kekeliruan khususnya kepada penumpang untuk mendapatkan tiket, malah pemandu bas juga menghadapi masalah di mana mereka akan dibenarkan masuk ke terminal menerusi mana-mana platform yang kosong, tidak seperti sebelum ini iaitu platform mereka telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, perancangan MSSB adalah memastikan kemudahan di terminal itu berikutan pelaksanaan CTS dan TOS siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan namun pihaknya akan berusaha mempercepatkan penyediaan kemudahan kaunter tiket dalam tempoh percubaab sebulan ini.