Pengerusi Jawatankuasa In­dustri, Perdagangan dan Pelaburan ne­geri, Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, usaha pelaburan dengan syarikat dari negara China, United Kingdom dan Amerika Syarikat itu sedang dalam peringkat rundingan dan diharap akan menjadi kenyataan tahun ini.

“Proses ini masih dalam pe­ringkat rundingan antara kedua-dua belah pihak meliputi pelbagai aspek. Diharapkan pelaburan ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di pinggir dan luar bandar.

“Ini penting untuk kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya dalam bidang teknikal dan tugas-tugas khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi selepas merasmikan Relau Xinyi Glass Holding Limited, di Lipat Kajang, Jasin, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd. Rafiq memberitahu, usaha membawa masuk pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan itu sentiasa diketengahkan pihaknya di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Selain itu kata Mohd. Rafiq, beliau juga sering meminta kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Me­laka (PKNM) untuk me­ningkatkan penglibatan dan potensi institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran dalam industri.