Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, usaha itu perlu me­mandangkan tidak banyak pe­ngusaha tanaman berkenaan di negara ini namun permintaannya amat tinggi di pasaran.

Menurutnya, negara kini mengimport sebanyak empat juta tan metrik jagung bijian dengan kos RM3.1 bilion setahun yang digunakan sebagai makanan bagi haiwan ternakan.

“Sehubungan itu, kita di Melaka menyahut seruan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membangunkan projek tanaman tersebut di negara ini.

“Melaka telah memulakan projek rintis di negeri ini sejak tahun lalu dengan kawasan seluas 13 hektar dan berhasrat memperluaskannya sehingga 200 hektar menjelang hujung tahun ini,” katanya selepas merasmikan program Penuaian Jagung Bijian Negeri Melaka di Kampung Gapam, di sini.

Hadir sama Pengarah Pertanian negeri, Rusdan Abdul Talib.

Jelas Hasan, beliau juga mahu Jabatan Pertanian negeri mengenal pasti kawasan-kawasan pertanian untuk dimajukan di ne­geri ini bagi melaksanakan projek tersebut.

“Selain itu, kita juga akan berbincang dengan kerajaan ne-geri untuk membenarkan tanah-tanah kerajaan yang terbiar dan belum dibangunkan untuk projek ini bagi tempoh sementara.

“Apa yang saya lihat, projek ini mempunyai potensi meman­dangkan permintaannya amat tinggi di pasaran malah ia mampu melahirkan ramai usahawan tani yang berjaya,” ujarnya.

Sementara itu menurut jurucakap Jabatan Pertanian negeri, Malaysia berpotensi menjadi pengeluar jagung bijian kerana mempunyai tanah dan iklim yang sesuai sepanjang tahun serta corak pasaran yang terjamin.

Di Melaka, projek rintis tanaman itu telah dimulakan di Kampung Gapam dengan kawasan seluas 13 hektar yang diusahakan, Lee Nyan Hin sejak September lalu.

Setiap hektar tanah mampu menghasilkan kira-kira 53,333 batang pokok jagung bijian dan ia dijual dengan harga RM1,000 bagi satu tan metrik mengikut harga semasa.