Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, untuk tujuan tersebut, beberapa inisiatif dalam pelan pembangunan negeri khususnya melibatkan projek pengindahan Sungai Melaka, Bandar Hijau Hang Tuah serta penggunaan tenaga elektrik secara lebih efisien telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Katanya, setiap usaha yang dilakukan itu telah digembeleng secara berperingkat-peringkat, iaitu setiap penggunaan teknologi adalah berasaskan kepada amalan teknologi hijau bertaraf tinggi.

"Pertumbuhan hijau merupakan satu peluang yang harus digarap sepenuhnya dan saya yakin ia mampu diterjemahkan menerusi beberapa siri perbincangan terutamanya dalam kalangan negara ASEAN sendiri.

"Saya percaya menerusi mesyuarat yang berlangsung ini, kita dapat berkongsi pelbagai idea tentang teknologi serta amalan hijau dan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya di negara masing-masing kelak," katanya.

Idris berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Green Council Kali Kedua yang berlangsung di Songkhla, Thailand mulai semalam. Teks ucapan beliau dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di sini.

Yang turut hadir, Pengarah mesyuarat berkenaan, Pairote Potivong; Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Songkhla, Triyougo Jatmiko; Naib Gabenor Wilayah Songkhla, Kajornsak Charoenspa dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Afandi Abu Bakar.

Menurut Idris, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi rantau ini berhasil dalam jangka masa panjang, negara-negara ASEAN perlu terus memberi penekanan terhadap usaha pemuliharan sumber alam semula jadi dan penjagaan alam sekitar.

"Pelaksanaan pelan tindakan di bawah kerangka sub wilayah ini bakal membuka peluang pelaburan baharu dan dengan penglibatan lebih banyak sektor swasta, ia akan terus mengukuhkan usaha ASEAN untuk sama-sama mempertahankan proses inovasi teknologi hijau," katanya. -UTUSAN ONLINE