Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hasan Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri berasa begitu kagum dengan usaha yang digerakkan oleh Mandate selama ini dan berharap sijil-sijil kemahiran dapat diberikan dari semasa ke semasa di peringkat negeri.

“Pada hari ini kita dapat melihat penganugerahan telahpun diterima baik oleh semua peng­usaha industri dalam pelbagai bidang dan ia diberi pengiktirafan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia.

“Cuma saya terfikir, apakah penganugerahan yang boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam bidang mereka sebagai galakan ketika berada di bangku sekolah lagi?,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pentauliahan dan Pengiktirafan Kemahiran Kerjaya (MPPKK) Mandate 2017 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan, penganugerahan seum­pama itu bakal memberikan ke­lebihan terhadap semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Ada pelajar yang mahir dalam bidang tertentu seperti menjalankan perniagaan di sekolah, namun sijil apakah yang boleh diberi untuk mengiktiraf usaha mereka itu?

“Saya berpendapat, Unit Pe­merkasaan Ekonomi Jabatan Ketua Menter boleh mengadakan perbincangan awal ddengan pihak Mandate supaya kita boleh memberi pengiktirafan kepada organisasi atau individu lain yang masih belum menerima pengiktirafan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan ne­geri bersama Mandate juga berperanan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat terutama pelajar supaya mereka dapat memberi tumpuan dalam bidang kemahiran sekiranya ingin memiliki sijil yang diiktiraf kerajaan.