Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, program tersebut akan dilaksanakan secara ber­peringkat dengan kerjasama Dana Sedunia Alam Semula Jadi Malaysia (WWF-Malaysia), Green Growth Asia (GGA) dan Jabatan Pendidikan negeri melibatkan 314 sekolah di negeri ini.

“Ketika ini, program itu akan dilaksanakan di 25 sekolah rendah dan menengah sebelum dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi. Ia merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri ke arah Negeri Teknologi Hijau menjelang 2020.

“Program ini juga selaras de­ngan pelbagai program berasaskan teknologi hijau yang dilaksanakan di negeri ini seperti hari tanpa beg plastik dan kayuhan basikal,” katanya selepas merasmikan pelancaran program tersebut di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Yang turut hadir, Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar; Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius S.K. Sharma dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GGA, Balamurugan Ratha Krishnan.

Pada masa sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Rawi Mahmud serta ramai guru, murid dan pelajar sekolah di negeri ini turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Sementara itu, Idris turut memberitahu, amat penting untuk program itu dilaksanakan di peringkat sekolah kerana ke-sedaran terhadap menjaga alam sekitar seharusnya dipupuk sejak di bangku sekolah kerana mereka bakal menjadi penentu keadaan dunia pada masa hadapan.

“Sekiranya anak-anak muda ini dapat menghayati serta faham akan kepentingan menjaga alam sekitar, maka kehijauan di sesebuah negara pastinya akan terpelihara. Ketika ini, ada juga situasi apabila di sekolah pelajar sangat mementingkan kebersihan, tetapi menjadi sebaliknya apabila di luar sekolah,” katanya.