Pengerusi Jawatankuasa Per­­tanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, projek tersebut dipilih ekoran potensinya untuk menjadi pembekal ayam daging terbesar di negeri ini selain kesungguhan yang ditunjukkan oleh usahawan terbabit.

Menurutnya, pihaknya juga bersimpati dengan usahawan projek ternakan ayam daging iaitu Muhammad Fazli Rosli yang baru-baru ini terpaksa menanggung kerugian besar apabila lebih 7,000 ekor ternakan mati di­sebabkan masalah teknikal di ladang kepunyaannya.

“Melihat kepada kesungguhan usahawan ini dan potensi projek yang dibangunkannya, kita di peringkat kerajaan negeri mahu membantu agar dia dapat bangkit semula dan menjadi penyumbang kepada sektor bekalan makanan negeri.

“Kerajaan negeri juga akan berusaha menyediakan bantuan awal termasuk menggantikan ternakan yang mati selain memberikan khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada usahawan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­pada pemberita selepas me­ngadakan lawatan ke kawasan projek ternakan ayam daging milik Muhammad Fazli Rosli di Kampung Sungai Buloh, di sini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latipah Omar serta pegawai-pegawai Jabatan Veterinar negeri dan Pejabat Ve-terinar Daerah Alor Gajah.

Jelas Hasan, projek tersebut mempunyai potensi besar untuk maju kerana ia dibangunkan di kawasan strategik serta mengikut prosedur penternakan secara tertutup yang disarankan kerajaan.