Ismail Othman

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, kajian dari segi teknikal dilakukan bagi memastikan insinerator yang bakal digunakan itu bersesuaian serta mampu menampung sisa pepejal di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya per­lu me­ngetahui tahap kemampuan sesebuah mesin itu sebelum ia dibina bagi mengelak kerugian sekiranya ia kurang berkesan untuk melupuskan sisa pepejal sedia ada.

Kebanyakan daripada sampah yang dihasilkan di negeri ini adalah dalam bentuk lembap. Sehubungan itu, kita perlu pilih jenis insinerator dan bahan api yang paling sesuai agar ia dapat diproses dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Ayer Keroh, di sini baru-baru ini.

Ismail (BN-Kuala Linggi) me­ngulas mengenai soalan lisan Lim Jak Wong (Bebas-Bachang) berkenaan perkembangan Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang serta langkah diambil bagi mengatasi masalah tapak tersebut.

Jelas Ismail, insinerator itu akan dibina bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang bagi memudahkan kerja-kerja pemunggahan dan pemprosesan sampah.

“Kos bagi membina insi­nerator berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion sebuah dan sekiranya kajian tersebut selesai, ia bakal dibina dalam tempoh dua tahun dari sekarang,” ujarnya.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan Goh Leong San (Bebas-Duyong) me­ngenai keselamatan tapak pembinaan insinerator itu Ismail memberitahu, isu tersebut tidak perlu dibangkitkan kerana banyak loji pelupusan sisa pepejal di luar negara dibina berhampiran infrastruktur awam.

“Teknologi insinerator ini turut digunakan di Singapura bahkan telah dibina berhampiran kawasan tumpuan orang awam seperti hospital serta sekolah dan ternyata tiada masalah yang timbul,” katanya.

Tambah beliau, pembinaan teknologi insinerator tersebut adalah mesra alam dan mematuhi syarat kadar pelepasan gas yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang supaya tidak menjejaskan tahap kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran.

“Selain itu, insinerator ber­kenaan juga dapat menghasilkan tenaga boleh diperbaharui se­perti elektrik yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber asli,” jelasnya.