Kontinjen Wilayah Persekutuan pula menjadi naib johan hasil kutipan lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa manakala Johor di tempat ketiga dengan enam emas, lima perak dan sembilan gangsa.

Selaku juara, kontinjen Mela­ka berjaya membawa pulang pia­la pusingan, piala iringan serta hadiah-hadiah iringan lain yang disampaikan oleh Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut sempena majlis penutupan temasya sukan itu di Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar; Speaker Dewan Unda­ngan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka, Datuk Mohd. Radzi Abd. Latif.

Ibrahim dalam ucapannya berkata, penganjuran temasya dwi-tahunuan itu mampu membentuk semangat kerjasama dan setiakawan dalam kalangan kakitangan mahkamah syariah seluruh negara bagi memenuhi misi memartabatkan kehakiman syarie.

Menurut beliau, kegiatan sukan seperti itu juga dapat membentuk nilai positif seperti semangat berpasukan, disiplin, muhibah, tolak ansur, kesefahaman dan pembinaan moral dan fizikal yang berkualiti.

"Dalam erti kata lain, pengli­batan dalam sukan mampu memberi manfaat yang amat besar terhadap seseorang individu dan juga organisasi," katanya.

Dalam pada itu, peserta Sabah, Roslee Mukim dan peserta Wilayah Persekutuan, Salwani Sufi masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SMS-4 selepas kedua-duanya menyapu tiga emas individu.

Kira-kira 1,400 atlet yang terdiri daripada kakitangan mahkamah syariah seluruh negara terlibat dalam temasya tersebut.