Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, cadangan itu akan dibawa untuk dibincangkan bersama kesemua 27 pengusaha daripada 36 ladang ternakan haiwan tersebut di sekitar Paya Mengkuang sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, melalui idea itu, satu pusat ternakan babi yang lebih moden akan dibina oleh pelabur tempatan di kawasan tersebut lengkap dengan segala kemudahan canggih.

Ini katanya, termasuk sistem memproses sisa buangan haiwan tersebut agar ia tidak dibuang ke sungai sehingga menyebabkan pencemaran air serta bau busuk seperti yang berlaku sekarang.

“Dengan adanya pusat ternakan secara berkelompok ini, ia akan memudahkan Jabatan Ve-terinar negeri untuk membuat pemantauan selain memberi ke-selesaan kepada pengusaha itu sendiri yang perlu menyewa ruang dalam pusat tersebut.

“Bagaimanapun, ia perlu me­libatkan semua pengusaha dan bukannya sebahagian sahaja wa­laupun terdapat beberapa la­dang sedia ada mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan Jabatan Veterinar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan babi di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Ja­watankuasa Kesihatan negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Ve­terinar Melaka, Dr. Azlan Enjah.

Menurut Norhizam, kaedah ter­­sebut dilihat jauh lebih baik berbanding kaedah sedia ada yang dilaksanakan para pengusaha yang mana mereka perlu melaksanakan pelbagai proses se­belum air sisa buangan dilepas ke sungai.

“Kita memahami tidak semua pengusaha mampu untuk melaksanakan kaedah ditetapkan dan inilah yang menyebabkan pencemaran di kawasan ini tidak dapat diselesaikan sehingga sekarang.

“Jadi cadangan kita, mereka hanya perlu membayar sewa sahaja dan mengendalikan ternakan masing-masing sahaja tetapi segala proses berkaitan sisa najis diuruskan pusat ternakan ber­kelompok itu. Saya yakin kaedah ini tidak membebankan pengusaha,” katanya.

Tambah beliau, kaedah yang dicadangkan itu telah digunapakai di beberapa negara maju termasuk Jerman dan akan menjadi yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Sehubungan itu, kita harap para pengusaha babi di kawasan terbabit menerima cadangan ber­kenaan demi kebaikan semua pi­hak sekali gus menyelesaikan masalah pencemaran bau dan najis babi sejak sekian lama di lokasi tersebut,” jelasnya.