Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, kebergantungan tinggi bekalan sayur-sayuran daripada luar Melaka disebabkan hasil pertanian negeri ini yang tidak mencukupi bagi menampung permintaan semasa.

Menurutnya, antara tanaman yang banyak diambil dari luar adalah cili, timun, tomato, kobis dan sayur-sayuran berdaun yang sebahagian besarnya diperolehi dari Johor, Cameron Highlands (Pahang) dan beberapa negeri lain.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri menggalakkan lebih ramai petani di negeri ini mencuba kaedah tanaman fertigasi sebagai langkah menjimatkan kos operasi selain meningkatkan hasil tanaman yang boleh dijual secara terus dari ladang melalui program Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL).

"Kita menyokong pendekatan kaedah fertigasi dan mahu memperluaskannya kepada lebih ramai petani di negeri ini demi manfaat golongan tersebut seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada bekalan sayur-sayuran daripada luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan PPL dan program JTDL di Yoshi Argo Care, Jalan Tun Kudu, Bukit Katil di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Che Samudin Hassan.

Norhizam berkata, sehingga kini sebanyak lima lokasi telah mengadakan PPL di Melaka manakala tujuh program JTDL telah dilaksanakan melibatkan lima pengusaha ladang dengan nilai jualan sebanyak RM11,500.

"Program JTDL yang menawarkan harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran itu diperkenalkan bagi menyokong kira-kira 213 peladang kontrak dengan penjualan terus produk tanaman mereka termasuk cili, terung, petola, mangga, tembikai dan timun tanpa menggunakan khidmat orang tengah," ujarnya. UTUSAN ONLINE