Langkah tersebut adalah bagi memelihara kelestarian alam sekitar dan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri menjaga kebersihan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, pada peringkat awal, pengusaha restoran dan kedai makan dinasihatkan supaya tidak membekalkan straw plastik kepada pelanggan.

“Bagaimanapun ini bukan bermaksud penggunaan straw dilarang sepenuhnya dalam tempoh percubaan ini, sebaliknya pelanggan boleh meminta daripada pengusaha kedai tanpa dikenakan caj.

“Ini merupakan satu langkah awal bagi mengurangkan penggunaan straw plastik dan kita meminta orang ramai dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan usaha penjagaan alam sekitar,” katanya.

Kok Kiew (PH-Banda Hilir) berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) yang bertanyakan langkah diambil kerajaan negeri untuk mengekalkan kebersihan negeri ini.

Larangan penggunaan straw plastik sudah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala Putrajaya akan melaksanakan larangan tersebut mulai tahun depan. - UTUSAN ONLINE