Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, syarikat Aron Rinani Sdn. Bhd. (Aron Rinani), melaburkan sebanyak RM2.1 bilion dalam tempoh lima tahun bagi merea­lisasikan pembangunan industri bot terbang di negeri ini.

Menurutnya, kilang fasa pertama telah dibina di Masjid Tanah dengan keluasan 2.02 hektar dan kilang fasa kedua akan dibina di Telok Gong, Alor Gajah berkeluasan 36 hektar bermula Februari ini.

“Kilang yang dibina di Telok Gong itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2017.

“Di Melaka, kita melihat ini lebih kepada faktor pelancongan di mana negara lain lebih kepada keperluan strategik temasuk pengangkutan.

“Kelebihan bot ini adalah antara helikopter dan kapal terbang di mana ia juga boleh digunakan untuk tujuan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Unit Percubaan, Bot Terbang Jebat M727 di Marina Awam, Kota Laksamana di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Aron Rinani, Azerai Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pemba­ngunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Dalam pada itu, Azerai berkata, sehingga kini lebih 100 unit telah ditempah oleh beberapa negara luar.

Bagaimanapun katanya, kapasiti yang boleh dikeluarkan oleh kilang fasa pertama itu adalah sebanyak tujuh unit setahun.

Menurut beliau, kilang fasa ke­dua pula mampu menghasilkan sehingga 50 unit setahun.

“Bot tersebut dijual pada harga RM3.5 juta seunit dan pe­nye­rahan pertama dijangka dilakukan pada Jun tahun ini,” jelas beliau.

Azerai memberitahu, pihaknya akan menghasilkan lebih banyak model bot terbang yang mampu memuatkan antara lapan hingga 30 penumpang dalam satu-satu masa.

Jebat M727 yang dibangunkan dengan kepakaran teknologi Wing in Ground (WIG) itu mampu mencapai kelajuan melebihi 200 kilo­meter sejam, berada di udara de­ngan ketinggian 150 meter dari paras laut dan terbang sejauh 800 kilometer untuk satu tangki penuh.

Pemasangan yang dilakukan menggunakan tangan sepenuhnya itu mengambil masa sehingga empat bulan untuk disiapkan.