Datuk Bandar MBMB, Datuk Azmi Hussain berkata, penganjuran profram itu adalah selaras dengan usaha kerajaan menuju ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Inovasi dalam perkhidmatan awam adalah penting kerana ia menggalakkan daya saing negara. Penjawat awam merupakan jentera penting kerajaan dalam menjayakan setiap aspirasi kerajaan.

“Justeru, adalah menjadi keutamaan kepada kita untuk terus mempergiatkan usaha dalam menyemarakkan lagi budaya inovasi, memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cepat, cekap dan berkesan serta mesra rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd. Akin sebelum merasmikan program tersebut di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha MBMB, Sheikh Nasir Sheikh Salim.

Pada masa sama, beliau memberitahu, anggota perkhidmatan awam perlu berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dengan mencari penyelesaian kreatif serta inovatif sehingga menjangkau pemikiran di luar kotak.

“Sehubungan itu, budaya inovatif menjadi agenda utama dalam menghasilkan perubahan berimpak besar kepada kerajaan melalui program-program berkaitan dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.

Selain daripada program tersebut, beliau turut merasmikan pelancaran aplikasi My Melaka iaitu satu aplikasi mudah alih yang merupakan inovasi perkhidmatan daripada MBMB berasaskan telefon pintar yang bertujuan untuk mempelbagaikan saluran maklumat pelancongan lengkap bagi negeri Melaka. - UTUSAN ONLINE