Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, beliau menerusi Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) kawasannya sudah dimaklumkan berhubung masalah berkenaan.

“Isu ini memang kita tahu, malah masalah-masalah itu sudah wujud sejak pemerintahan kerajaan terdahulu. Beri kami sedikit masa.

“Permohonan bagi mendapatkan peruntukan menaik taraf longkang, membaiki rumah-rumah uzur dan jalan te­lah pun dihantar kepada pihak berkenaan. Kini kita di pe­ringkat menunggu peruntukan untuk di­salurkan sahaja,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu katanya, Pengerusi Majlis Pe­ngurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan terus memantau dan menyalurkan maklumat kepada Japerun DUN Kesidang supaya masalah yang timbul dapat diselesaikan.

“Mengikut laporan yang diberikan, kejadian banjir di kawasan itu tidak kerap berlaku cuma terjadi pada musim hujan.

“Tiada sebarang isu pilih kasih dalam hal ini kerana kita tahu ada yang mengandaikan sebegitu.

“Kita kini hanya menunggu peruntukan dan apabila sudah dapat dana tersebut, kami akan mendahulukan kawasan-kawasan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, berhubung masalah jalan rosak, beliau menjelaskan, pihaknya diberi peruntukan sebanyak RM200,000 untuk digunakan bagi membaiki jalan berkenaan dan sehingga kini sebanyak lima buah kampung telah mendapat manfaat daripada dana itu.

“Kami harus meneliti kawasan yang benar-benar kritikal untuk menerima peruntukan yang agak terhad itu,” katanya.