Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sembilan/Melaka, Kepten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus memberitahu, ketika anggota penguat kuasa itu dalam rondaan operasi di sepanjang perairan Selat Melaka, mereka telah menahan dan memeriksa sebuah vesel korek pasir GT 9 dengan nombor pendaftaran IMO 98322212 kira-kira 1.4 batu nautika dari Tenggara Pulau Upeh dekat sini.

"Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu sedang menjalankan aktiviti membuang pasir daripada vesel ke kawasan tambakan. Vesel itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan aktiviti lambakan pasir.

"Pemeriksaan lanjut mendapati 15 lelaki kru kapal merupakan warga China. Vesel telah ditahan kerana disyaki gagal mempamerkan lesen permit pasir dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan MSO Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faridi lagi, kesemua kru ditahan dan vesel diarahkan berlabuh di Pulau Upeh.

Sementara itu, Ahmad Faridi menegaskan, pihaknya akan sentiasa meningkatkan operasi dalam usaha membanteras perlakuan jenayah maritim di perairan Zon Maritim Malaysia khususnya di Negeri Sembilan dan negeri ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah dan kesalahan maritim boleh menghubungi talian hotline 06-3876703 yang beroperasi selama 24 jam. - UTUSAN ONLINE