Sehingga pukul 5.30 petang ini, jumlah mangsa yang dipindahkan adalah 504 orang melibatkan 111 keluarga termasuk seramai 68 pelajar Tahfiz al-Quran Wal-Khiraat Ainur Syukriah di Panchor.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Leftenan Kolonel Effendy Ali berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, Balai Raya Seri Mendapat, Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum dan SK Tedong di Jasin.

Empat lagi pusat pemindahan di Alor Gajah adalah Balai Raya Kampung Seri Jeram, Balai Raya Bukit Balai, Tadika JAIM Kampung Pulau dan Balai Raya Kampung Panchor.

"Di daerah Jasin, sebanyak 411 mangsa terdiri daripada 103 buah keluarga telah dipindahkan ke empat pusat pemindahan dengan dua daripadanya telah dibuka pada pukul 9 pagi tadi.

"Dalam pada itu, di daerah Alor Gajah, seramai 93 mangsa daripada tujuh keluarga dan pelajar sekolah tahfiz yang terjejas telah ditempatkan di kesemua empat pusat pemindahan di daerah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Katanya, kejadian banjir itu berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 3 pagi sehingga 9 pagi tadi menyebabkan enam buah kawasan dilanda bencana.

"Enam kawasan yang terjejas adalah Kampung Tehel, Kampung Tersusun Seri Mendapat, Kampung Kilang Berapi, Kampung Tedong di Jasin dan Kampung Seri Jeram, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Panchor di Alor Gajah," katanya. - UTUSAN ONLINE