Pengarah LPP Melaka, Ramli Md. Isa berkata, lima buah PPK tersebut yang dirancang untuk dibuka adalah di Sungai Rambai, Bemban, Kota Melaka, Durian Tunggal dan Lubok China.

Bagaimanapun, katanya, PPK tersebut dijangka dibuka secara berperingkat-peringkat setiap tahun.

Ketika ini, katanya, terdapat lima buah PPK di negeri ini iaitu di Merlimau, Masjid Tanah, Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah dan daripada sejumlah 20,000 keahlian itu, 40 peratus ahli muda yang berusia bawah 40 tahun.

“LPP menyasarkan untuk membuka lima lagi PPK di Melaka bagi meningkatkan taraf hidup dan kedudukan ekonomi para peladang di negeri ini.

“Dengan penambahan PPK menjadi 10 buah ini, kita berharap para peladang dapat mengeluarkan hasil pertanian dan perniagaan yang lebih tinggi termasuk mengusahakan sejumlah 2,000 hektar tanah sawah yang terdapat di nege­ri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup Program Mengaktifkan Unit Peladang PPK dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Melaka, Datuk Abu Pit dan Penolong Pengarah Sektor Dakwah dan Kesedaran Zakat Puzat Zakat Melaka, Noorzakry Nor Jamal.