Lokasi percutian untuk keluarga dan pasangan yang berkonsepkan kasih sayang berterusan itu menelan kos sebanyak RM100 juta dan dibangunkan sebuah syarikat tempatan, Mythas Legacy Sdn. Bhd. di atas tapak seluas 0.4 hektar yang menghadap perairan Selat Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hedki Heng berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 1.6 juta pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi pusat pelancongan itu setiap tahun sebaik sahaja ia mula beroperasi sepenuhnya Ogos ini.

"Love Harbour mempunyai kemudahan dua buah hotel butik yang menyediakan lebih 300 buah bilik, selain itu kami mempunyai kemudahan 400 buah tempat letak kenderaan, 100 pusat jualan berkonsepkan pengalaman dan kreativiti di mana kami ingin pengunjung datang bercuti sambil menenangkan fikiran dan membeli-belah seperti di kota besar London.

"Pusat pelancongan ini mula dibina sejak tiga tahun lalu dan kini sudah 98 peratus siap dan turut menyediakan lokasi kunjungan romantik untuk pasangan suami isteri bagi mengimbau kembali kisah cinta mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis prapelancaran Love Harbour kepada media di Pulau Melaka, kira-kira 2 kilometer dari pusat bandar raya Banda Hilir di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE