Kegagalan pihak bertanggu­ngjawab mengambil sebarang tindakan menutup atau memagar ka­wasan longkang itu menimbulkan pelbagai masalah ter­utama isu keselamatan dan pen­cemaran.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu di sini mendapati longkang besar sedalam kira-kira empat kaki itu dipenuhi sampah sarap.

Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, longkang berkenaan sudah lama terbiar tanpa sebarang usaha dibuat pihak bertanggungjawab.

“Aduan telah dikemuka kepada pihak berwajib, namun sia-sia sahaja.

“Bagi mengelak kejadian buruk berlaku, penduduk dan peniaga berhampiran mengambil insiatif menutup sendiri longkang tersebut.

“Bagaimanapun, penutup long­kang hanya bertahan sementara kerana bahan yang diguna orang awam mudah rosak dan ti­dak bertahan lama,” katanya yang turut sama melakukan sesi tinjauan ke lokasi berkenaan.

Menurut Azlin, ekoran daripada longkang besar itu terdedah terlalu lama, bau busuk sering mengganggu penduduk dan peniaga.

“Bau busuk terhasil terutama ketika cuaca hujan. Lebih teruk longkang di kawasan itu juga tersumbat dan dipenuhi sampah sarap,” kataya.

Sehubungan itu pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) diminta segera menutup longkang tersebut bagi memastikan ke­selamatan orang awam terjamin.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAG, Ismail Hasim ketika dihubungi berkata, tindakan menutup longkang tersebut akan diambil pihaknya dalam masa terdekat.

Katanya, orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan dengan bidang kuasa MPAG, boleh terus ke MPAG atau menerusi aplikasi WhatsApp, Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung atau Jawatan Kuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun).