Dalam operasi bermula pukul 10.30 pagi, kesemua barangan dirampas dari tiga serbuan di tiga premis perniagaan runcit di Taman Merdeka Permai, Taman Limbongan Jaya dan Pengkalan Jaya di Alor Gajah yang keseluruhannya bernilai RM4,800.50.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Muhamad Aizudin Mohd. Said berkata, kesemua premis berkenaan diserbu hasil risikan selama seminggu selepas disyaki menjual barangan menggunakan logo halal tidak diiktiraf pada bungkusan produk.

“Hasil serbuan mendapati logo halal yang terdapat pada bungkusan produk bukan daripada Jakim mahupun pensijilan halal daripada luar negera yang diiktiraf Jakim sendiri.

“Antara produk makanan yang dirampas termasuklah tepung goreng, kerisik kelapa, tepung kastad, minuman berperisa, rempah sup, tepung pulut hitam dan pes rojak,” katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE