Ketua Operasi Suruhanja­ya Tenaga, Abdul Razib Dawood yang mewakili Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga dan Teknologi Hijau) Kementerian Te­naga, Teknologi Hijau dan Air berkata, sepanjang tempoh itu Hospital Melaka berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 101,356 per kilowatt jam (kWh) yang dianggar bersamaan nilai bil sebanyak RM41,000.

“Projek ini dijangka akan mencapai penjimatan sebanyak 1.216 juta kWh untuk tempoh setahun yang bersamaan dengan jumlah RM492,050 kos bil utiliti.

“Sehubungan itu saya telah memohon kepada Kementerian Kesihatan jika kos penjimatan ini dapat diganti dengan pembelian peralatan hospital,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Projek Retrofit Sistem Pencahayaan Lampu LED Hospital Melaka baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sukan dan Antidadah negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Seri Md. Yunos Husin.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ghazali Othman dan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Hatijah Mohd. Tan.

Sementara itu, Abdul Razib berkata, pemilihan Hospital Melaka dalam projek itu dibuat berdasarkan jumlah penggunaan tenaga elektrik yang tinggi.

“Tujuan projek adalah untuk mengurangkan penggunaan tenaga melalui penambah baikan sistem pencahayaan de­ngan mengambil kira keselesaan warga kerja hospital, pesakit dan orang awam.

“Projek ini telah dimulakan pada 24 Oktober 2017 dan siap pada 15 Januari lalu melibatkan kos sebanyak RM1.29 juta,” ujarnya.

Selain itu katanya, projek tersebut memberikan impak yang positif kepada rakyat dan warga kerja Hospital Melaka ke­rana penukaran lampu itu memberikan suasana lebih ceria serta persekitaran yang lebih cerah.

“Wad-wad dan ruang kerja warga Hospital Melaka serta laluan awam kini semakin terang.

“Perubahan ini diharap dapat menyumbang sesuatu yang positif kepada kakitangan dan juga pelawat hospital ini,” katanya.