Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kutipan itu melibatkan bilangan pembayar seramai 39,989 orang berban­ding 37,461 pada 2017 de­ngan peningkatan sebanyak 6.75 peratus pembayar.

Menurutnya, zakat pendapatan mencatatkan kutipan ter­tinggi iaitu sebanyak RM27.82 juta manakala zakat pertanian mencatat kutipan terendah iaitu RM16,000 dalam tempoh yang sama.

“Kita akan terus berusaha memastikan kutipan ini dapat dipertingkatkan untuk membantu go­longan yang memerlukan selari dengan hasrat dan usaha kerajaan membasmi kemiskinan.

“Kerajaan mengucapkan te­rima kasih kepada semua agensi yang melunaskan zakat perniagaan mereka.

“Diharapkan agensi korporat dan swasta yang lain turut melunaskan tuntutan itu kepada Zakat Melaka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan 2018 kepada Ketua Menteri Melaka yang mewakili Zakat Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, baru-baru ini.

Terdahulu kerajaan negeri menerima sebanyak RM2,788,074 daripada tujuh agensi korporat pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Ke­roh, di sini.

Penyerahan cek zakat perniagaan dilakukan oleh 13 wakil syarikat korporat kepada Adly.

Bayaran zakat diterima daripada Tenaga Nasional berjumlah RM705,328; Syarikat Air Me­laka Berhad (RM613,821); Bank Rak­yat (RM586,644); Fazil Agency (RM200,000); Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM143,669); Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) (RM100,000) dan Rakyat Holdings Sdn. Bhd.(RM100,000).

Bayaran dari pihak swasta pula terdiri daripada GITN Sdn. Bhd. iaitu sebanyak RM93,333; Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd (RM80,000); MBSB Bank Berhad (RM65,440); Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) (RM51,724); DMDI Finance House Berhad (RM27,750) dan Melaka Taming Sari Berhad (RM20,362).