Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, langkah tersebut dibuat bagi memastikan usahawan dan kontraktor baharu turut diberi peluang untuk melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan kepada negeri ini.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan negeri akan memantau perkhidmatan usahawan dan kontraktor sedia ada yang telah diberi peluang untuk memastikan mereka memanfaatkan kontrak diberikan.

“Ada dalam kalangan usahawan baharu yang langsung tidak diberi peluang di agensi kerajaan atau PBT, jika ada peluang diberikan pun agak sukar untuk semua memperolehnya.

“Untuk itu kerajaan negeri akan menetapkan kuota sebanyak 30 peratus dibuka kepada usahawan baharu supaya mereka dapat peluang yang sama dengan usahawan atau kontraktor sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, proses meluluskan kuota sebanyak 30 peratus itu mungkin akan mengambil sedikit masa kerana memerlukan penilaian dan kelulusan namun ia akan dilaksanakan segera supaya usahawan baharu mendapat peluang ini.

“Kita mengambil pendekatan yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang mula memberi peluang 30 peratus kepada kontraktor tempatan sejak Oktober lalu dan dilihat kaedah ini berjaya membantu usahawan dan kontraktor tempatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE