Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, pihak­nya sering menerima rungutan dan aduan daripada orang ramai mengenai ke­sesakan yang berlaku terutama pada hujung ming­gu, cuti umum dan musim cuti persekolahan.

Justeru katanya, ma­salah yang sema­kin membebani rak­yat dan juga pelancong itu tidak dibiar tanpa penyelesaian daripada kerajaan negeri.

“Sebagai Ketua Menteri saya memandang serius perkara ini kerana ia berkaitan dengan ke­selesaan rakyat jelata.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengatasi isu itu sejak dahulu lagi namun penyelesaian tidak akan berlaku serta merta sebaliknya secara berperingkat - peringkat,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri disini baru-baru ini.

Menurut Idris, kesesakan yang berlaku di kawasan pusat bandar pada ketika ini sebahagiannya berpunca daripada pembinaan dua projek persimpa­ngan bertingkat iaitu di persimpangan MITC (Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka) dan persimpangan Peringgit dan di dalamnya ada tiga lagi projek penyuraian trafik iaitu di hadapan Hospital Pantai, persimpangan air terjun dan hadapan Masjid Al-Azim.

Mengulas lanjut, Idris berkata, langkah diambil kerajaan ne­geri bagi mengatasi masalah ke­sesakan lalu lintas bukan setakat mengadakan persimpangan ber­tingkat di lokasi tertentu bahkan pihaknya turut merangka pelbagai projek pembinaan laluan lingkaran luar dan dalam untuk menghubungkan bandar-bandar utama di negeri ini seperti Jasin, Merlimau, Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Kata beliau, langkah itu bagi memastikan negeri ini mempunyai sistem pengangkutan yang lengkap menghubungkan antara satu sama lain menje­lang pembinaan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura dan turut melalui Melaka.

“Saya dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah meluluskan pembinaan empat jejantas menghubungkan Tesco Cheng dan Pulau Gadong dan kita harap pembinaan jejantas itu dapat mengatasi masalah kesesakan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) yang mempunyai banyak lampu isyarat.

“Perancangan kita untuk me­ngatasi kesesakan ini dibuat mengikut tiga peringkat iaitu jangka pendek meliputi tempoh tiga ke lima tahun, peranca­ngan jangka sederhana selama 15 hingga 20 tahun dan perancangan jangka panjang iaitu antara 35 ke 50 tahun,” jelas beliau.