Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Melaka, Dr. Maimunah Fadzil berkata, berdasarkan kajian dijalankan dalam tempoh setiap lima tahun menyaksikan kadar pertambahan iaitu meningkat dari 27.9 peratus kepada 49.3 peratus bagi tahun 2011 hingga 2015.

Menurutnya, penyusuan susu ibu berkerjaya juga memperlihatkan peningkatan untuk menyusukan anak mereka sejak lahir sehingga berusia enam bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun.

"Kesedaran mengenai penyusuan secara eksklusif kepada bayi ini hampir mencapai sasaran kebangsaan iaitu Kementerian Kesihatan mahu lebih 50 peratus golongan ibu melaksanakan amalan ini.

"Di Hospital Melaka sahaja terdapat lebih 11,000 hingga 12,000 kelahiran bayi setiap tahun dan pihak kita sememangnya menggalakkan mereka diberi pendidikan dan ilmu menyusukan bayi dalam menjayakan penyusuan susu ibu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat Hospital Melaka di sini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Perubatan Kanan Hospital Melaka merangkap pemangku Pengarah, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Perubatan 1, Dr. Zarina Shahrom.

Maimunah berkata, kajian juga menunjukkan bahawa banyak faedah menyusukan bayi dengan susu kerana mempunyai kesemua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan otak bayi, mudah hadam dan susu ibu sentiasa tersedia pasa suhu yang tetap.

Katanya, kesan baik itu juga bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil, namun ia berkekalan sepanjang hayatnya yang meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, emosi dan juga pembentukan peribadi seorang anak.

"Antara manfaat susu bayi kepada bayi ialah mengandungi bahan pencegah penyakit (antibodi), mengurangkan risiko alahan, perkembangan daya intelek lebih tinggi, mengurangkan penyakit kencing manis pada kanak-kanak, pneumonia dan jangkitan telinga.

"Malah menyusukan bayi turut memberi faedah kepada ibu sendiri iaitu membantu mengecutkan rahim, mengurangkan pendarahan, mengurangkan risiko barah payu dara dan ovari di samping mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak," katanya.