Pengarah Bomba dan Penyelamat Melaka, Kamarulzaman Ma­lik Abdullah berkata, selain itu jumlah harta yang berjaya di­selamatkan dalam kebakaran pada tahun 2016 turut menca­tatkan peningkatan sebanyak 706 peratus iaitu sebanyak RM1.5 bi­lion berbanding RM443 juta pada tahun 2015.

“Walaupun pencapaian yang diperolehi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ini begitu drastik dan membanggakan, namun kita tidak boleh berpuas hati dan perlu terus memberi tum­puan kepada tanggungjawab yang menanti kita di hadapan.

“Pencapaian yang diperolehi ini disebabkan beberapa faktor termasuk kesedaran masyarakat mengenai kesan kebakaran jika ia tidak dibendung lebih awal mengakibatkan kerugian harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia peringkat negeri di Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah yang dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Sazali Muhd. Din di sini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lendu, Datuk Sulaiman Md. Ali.

Menurut Kamarulzaman, se­panjang tahun lalu katanya, se­banyak 4,148 panggilan kece­masan diterima terdiri 2,465 panggilan berkaitan kebakaran dan 1,683 panggilan penyelamat.

Selain itu katanya, sebanyak 162 panggilan khidmat khas dan 10 panggilan palsu diterima pi­hak­nya di seluruh negeri ini.

“Pada masa yang sama, JBPM Melaka berhasrat untuk me­ningkatkan khidmat unit bomba komuniti di setiap kampung di negeri ini di mana kita sasarkan 10 ahli akan menganggotai setiap kampung.

“Ketika ini terdapat kira-kira 600 ahli bomba komuniti di seluruh Melaka dan mereka merupakan antara penyumbang kepada usaha membantu pihak JBPM menyelamatkan mangsa kemalangan, bencana dan kecemasan di seluruh negeri,” jelasnya.

Sementara itu, Sazali dalam ucapannya meminta orang ramai terus membantu pihak JBPM memastikan kejadian kecemasan dan kemalangan dapat ditangani segera.

“Saya berharap orang ramai akan menyumbang usaha mereka memaklumkan kepada pihak bomba seterusnya menjadi mata dan telinga pasukan ini dalam usa­ha menangani kejadian bencana dan kemalangan,” katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan majlis penyampaian anugerah kepada anggota dan pegawai cemerlang serta penyerahan ben­dera kepada kontinjen Kadet Bomba Melaka yang akan me­nyertai perkhemahan Kadet Bomba pe­ringkat kebangsaan di Port Dickson, Negeri Sembilan bermula esok hingga 20 Mei ini.