Noor Nabilahuda Mohd. Nazeri, 20, calon STPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad di sini berkata, walaupun dia pernah mendapat keputusan yang kurang memberangsangkang dalam percubaan STPM, namun berkat sokongan ibu bapa, guru dan rakan menjadikan dia memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 pada STPM tahun lalu.

“Saya bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada ibu bapa yang banyak membantu termasuk guru dan rakan yang selalu ada memberi sokongan, mereka memberi keyakinan kepada saya untuk berjaya,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM 2018 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka di sini hari ini.

Menurut Noor Nabilahuda, sewaktu peperiksaan percubaan sebelum ini, dia menadapat keputusan yang agak tidak memuaskan namun bapanya, Mohd. Nazeri Ibrahim, 45, memberi perangsang untuk dia bangun kembali dan berusaha sehingga berjaya.

“Bapa pesan kepada saya, yang hendak menduduki peperiksaan adalah saya jadi penentunya juga saya sendiri dan untuk itu saya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya,” katanya yang merupakan anak kepada pesara tentera yang kini menetap di Bukit Rambai di sini.

Sementara itu, Nur Ismahani Akma Noraziz, 20, calon dari sekolah yang sama memberitahu, dia tiada petua untuk berjaya tapi kejayaan diperolehinya daripada doa ibu bapa, guru dan rakan-rakan.

“Masa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keputusan saya tidak berapa baik walaupun mendapat panggilan memasuki Universiti Sains Islam Malaysia namun saya ingin menduduki STPM sehingga berjaya,” katanya yang memperoleh keputusan 4A dalam SPM. - UTUSAN ONLINE