Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, masyarakat perlu bersyukur kerana dapat hidup selamat, aman dan makmur dalam sebuah negara berbilang kaum, tidak seperti di sesetengah negara lain.

“Negara kita rakyatnya sentiasa membantu antara satu sama lain dan memahami budaya, kaum serta agama satu sama lain seperti yang diamal dan dipraktikkan selama ini.

“Negeri Melaka sejak abad ke-13 lagi sudah dihuni oleh pelbagai bangsa, agama serta kaum terdiri daripada Melayu, Cina, India, peranakan Baba Nyonya, Cheti dan Portugis. Pada zaman kegemilangan Empayar Melaka, pelabuhan Melaka menjadi tumpuan pedagang dan pelayar dari timur dan barat,” katanya ketika berucap sempena lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang di sini.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Fadilah Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Seri Md. Yunos Husin; Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Negeri, Datuk Lim Ban Hong serta Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd. Ali Rustam.

Sementara itu, Idris membe-ritahu, semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke SJKC bukan kerana tidak yakin dengan sistem pendidikan negara.

“Ramai dalam kalangan ibu bapa tertarik dengan sistem pembelajaran di SJKC yang dapat meningkatkan tahap kecemerlangan anak-anak di sam-ping boleh menguasai bahasa Mandarin dengan baik.

Dalam pada itu, beliau difahamkan, SJKC Bukit Beruang mempunyai seramai 869 murid dan daripada jumlah itu, 85 orang atau 10 peratus daripadanya terdiri daripada murid Melayu.