ADLY ZAHARI

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, selain soal kebajikan kakita­ngan Jabatan Penjara, bantuan kepada penghuni termasuk kemudahan peralatan pejabat dan sebagainya juga tidak akan diketepikan.

Menurutnya, bantuan kepada penghuni terutama­nya banduan wanita yang mempunyai anak seperti lampin pakai buang, permainan, buku dan lain-lain akan terus disalurkan agar proses pembesaran anak-anak itu tidak terganggu walaupun mereka membesar di dalam penjara.

"Selain itu, kerajaan ne­geri juga sedang melihat beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan untuk memberi faedah kepada seluruh pegawai, kakitangan dan penghuni penjara.

"Usaha tersebut termasuk mewujudkan sebuah perpustakaan dalam penjara," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Penjara Sungai Udang di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Ginie Lim Siew Lin; Pengarah Jabatan Penjara negeri, Abdul Aziz Mohamad dan Pengarah Penjara Sungai Udang, Datuk Nor Afifi Sulong.

Adly berkata, selain soal kebajikan, kerajaan ne­geri juga akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Penjara dalam usaha mempromosikan produk-produk hasil penjara untuk dikomersialkan sebagai produk Melaka.

"Produk yang dihasilkan oleh banduan di penjara se­perti makanan dan tenunan akan me­nerima bantuan pemasaran mela­lui agensi pelancongan negeri yang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan penghuni itu sendiri," tambahnya.