Ketika ini, sebanyak 20 pelajar Madrasah Darul Muttaqin Krubong di sini menjadi pusat tahfiz pertama yang menyertai pasukan sukarelawan itu di ne­geri ini dan mereka akan dibim­bing oleh pasukan JBPM negeri tentang langkah menghadapi sebarang kejadian.

Pengarah JBPM Melaka, Ka­marulzaman Malik Abdullah berkata, penubuhan Skuad Bomba di pusat tahfiz adalah antara sebahagian daripada rancangan pihaknya untuk menjadikan pu­sat pengajian agama atau sekolah tahfiz di negeri ini sebagai anak angkat bagi mengenal pasti kekurangan dan keperluan khususnya dalam mengelak bencana.

“Arahan diberikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron supaya sistem anak angkat diguna pakai supaya kebajikan dan keselamatan mereka terjaga dan mematuhi aspek keselamatan bagi mengelak bencana termasuk kebakaran.

“Kita ada pasukan khas yang dipengerusikan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dan dalamnya ada membincangkan untuk mengambil sekolah tahfiz sebagai anak angkat dan kami akan perhalusi langkah ini termasuk memperluaskan Skuad Bomba di semua sekolah agama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­ngadakan lawatan pemeriksaan keselamatan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Yang turut hadir Timbalan Pe­ngerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Sazali Muhd. Din yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Paya Rumput dan Pengerusi merangkap Mudir Mad­rasah Darul Muttaqin, Amir Ali.

Mengulas lanjut Kamarulzaman Malik berkata, daripada sejumlah 53 buah pusat pengajian dan pusat tahfiz yang didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di seluruh ne­geri ini, seba­nyak 38 pusat tahfiz te­lah diperiksa dan kebanyakannya diminta menyediakan pelan keselamatan kebakaran kepada pihaknya.

“Hasil pemeriksaan di 38 buah sekolah tahfiz ketika ini, hanya tiga buah sekolah tahfiz yang menepati piawaian keselamatan,” jelas beliau.

Sementara itu, Sazali berkata, penubuhan Skuad Bomba di Madrasah Darul Muttaqin diharap menjadi contoh kepada semua sekolah tahfiz lain agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak JBPM bagi mencegah kebakaran.

Katanya, kerajaan negeri memandang serius insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 pelajar dan warden pada 14 September lalu dan akan berusaha memastikan semua pusat tahfiz di negeri ini berada dalam keadaan selamat serta mematuhi ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan.