Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim Siew Lin berkata, tindakan segelintir pihak yang menyembunyikan jenayah tersebut boleh menyebabkan pelaku kes keganasan terhadap wanita semakin berani bertindak di luar batasan termasuk membunuh.

“Berdasarkan daripada kempen-kempen yang dilaksanakan, laporan mendapati keganasan sering dilakukan oleh pasangan atau ‘intimate partners’ seperti suami, tunang dan kekasih ke atas pasangan wanita itu sendiri atas faktor cemburu dan balas dendam.

"Untuk itu saya menyeru supaya masyarakat tidak menyembunyikan sebarang kes keganasan terhadap wanita kerana jika dibiarkan ia berleluasa, mungkin ada dalam kalangan sanak saudara kita yang menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup kempen menangani keganasan terhadap wanita ‘End Violence Against Women and Girls’ (EVAW) peringkat negeri anjuran Pejabat Pembangunan Wanita negeri di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengarah Pembangunan Wanita negeri, Mohd. Yusri Zainal.

Sementara itu, Siew Lin memberitahu, sebanyak 34 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di seluruh negeri sejak awal tahun ini sehingga Julai lalu.

Jumlah itu menurut beliau, menurun berbanding 78 kes dilaporkan sepanjang tahun 2017, diikuti 105 pada 2016, 145 kes (2015) dan 103 kes pada tahun 2014.

Daripada jumlah 34 kes yang dilaporkan, kata beliau, 20 kes melibatkan mangsa Melayu manakala empat kes melibatkan mangsa kaum Cina dan masing-masing lima kes membabitkan kaum India dan lain-lain. - UTUSAN ONLINE