Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, adalah menjadi kerugian kepada negara sekiranya sesuatu produk inovasi yang dihasilkan itu tidak dibawa ke depan atau dikomersialkan sehingga boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

Katanya, peranan untuk memajukan produk inovasi ini bukan hanya terletak di bahu kementeriannya semata-mata sebaliknya semua pihak termasuk pusat pengajian tinggi atau kolej pendidikan yang menghasilkan sesuatu produk perlu mengetengahkannya supaya ia boleh pergi lebih jauh.

"Bagi saya adalah rugi jika kita hasilkan produk inovasi tetapi kita tidak gunakannya dengan sebaik mungkin. Sehubungan itu saya meminta semua kolej pengajian termasuk kolej komuniti agar mengkomersialkan produk-produk yang dihasilkan supaya ia tidak menjadi pembaziran.

"Untuk menghasilkan produk inovasi ini ia bergantung kepada permintaan iaitu barangan yang ingin dihasilkan itu perlu menepati kehendak pasaran dan permintaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Seminar Penyelidikan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pertandingan Inovasi Kolej-Kolej Komuniti Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di Kolej Komuniti Selandar di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Akademik dan Pendidikan Berterusan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Wan Izni Rashiddi Wan Mohd. Razali dan Pengerusi Penyelidikan dan Inovasi Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Sahalani Basar.

Program Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pertandingan Inovasi kali ini berlangsung selama dua hari melibatkan persidangan antara peserta dan pertandingan inovasi membabitkan sejumlah lapan kategori.

Tema program kali ini iaitu Pembelajaran Sepanjang Hayat Tonggak Kecemerlangan Merintis Globalisasi dapat menyemarakkan usaha dan pembudayaan inovasi dalam kalangan warga Kolej Komuniti ke arah kecemerlangan diri.

Menurut Abu Bakar, beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menerima penyertaan daripada warga kolej komuniti yang lebih menyeluruh. -UTUSAN ONLINE