Program yang kali pertama dianjurkan jabatan itu melibatkan penyertaan orang awam di pusat beli-belah dianggarkan berjaya menarik sejumlah lebih 500 pengunjung yang ada dalam kalangan mereka tidak mengetahui wujud kaedah rawatan mengatasi jerawat di hospital kerajaan.


Ketua Jabatan dan Pakar Dermatologi hospital itu, Dr. G. Preamala berkata, program tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang masalah jerawat selain memberi makluman bahawa pihaknya menyediakan khidmat rawatan dan kaunseling kepada pesakit di hospital tersebut.


“Hampir sebahagian besar daripada pengunjung tidak mengetahui bahawa jabatan ini mempunyai pakar dan doktor untuk membantu mereka sekiranya menghadapi masalah jerawat.


“Dengan adanya program seperti ini melibatkan saya dan lapan orang doktor di Hospital Melaka serta 10 kakitangan, kami berusaha membantu pengunjung yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai rawatan mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui pada program itu yang berlangsung mulai pukul 10 hingga 4 petang ini.


Menurut Preamala, masalah jerawat kebiasaannya berlaku kepada remaja perempuan dan lelaki berusia antara 14 hingga 18 tahun namun ketika ini ia juga berlaku kepada golongan dewasa.


Beliau berkata, menerusi program ini, pengunjung akan mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor petugas dan sekiranya perlu mereka akan diberikan kad temu janji untuk rawatan susulan di Hospital Melaka.


“Matlamat kami di Jabatan Dermatologi adalah memastikan rakyat Malaysia tidak mengalami penyakit atau komplikasi berkaitan kulit termasuk jerawat dan kami berusaha membentuk keyakinan orang ramai agar tidak mengalami sindrom hilang keyakinan diri kerana masalah tersebut,” kata beliau. - UTUSAN ONLINE