Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peranti tersebut juga akan menyalurkan maklumat berkenaan sekurang-kurangnya setiap hari kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi tujuan pemantauan dan bil.

Menurutnya, penggunaan meter pintar itu akan membolehkan pemantauan kecekapan serta penjimatan air yang digunakan oleh pengguna setiap rumah kediaman.

“Kerajaan negeri juga bercadang memberikan insentif kepada pengguna yang meminimumkan penggunaan air serta tidak membazir seterusnya membantu mengelak daripada masalah kekurangan bekalan air di negeri ini.

“Bagaimanapun, jenis insentif yang akan diberikan belum diputuskan sama ada dalam bentuk potongan harga bil bulanan atau lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Bersama Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka di Taman Saujana Seksyen 3, Bukit Katil, di sini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Bahagian Retail TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengurus Besar (Khidmat Pe­langgan dan Pembangunan Perniagaan) Bahagian Retail TNB, Datuk Mohd. Azim Yusoff.

Jelas Adly, usaha penjimatan air itu selaras dengan inisiatif TNB yang sedang giat memper-kenalkan pemasangan meter pintar bagi kegunaan elektrik yang berupaya meningkatkan kecekapan tenaga.

“Sebagai negeri pertama di­pilih oleh TNB untuk melaksanakan projek tersebut, ia diharap dapat mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan negeri mencapai status negeri maju selari dengan visi serta misi – Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau, Bersih.

“Usaha berkenaan termasuk memperluaskan pemasangan meter pintar di seluruh negeri melibatkan lebih 310,000 pengguna seiring dengan penghasilan blue print Melaka sebagai bandar raya hijau dan Pelan Tindakan Bandar Raya Hijau untuk kemajuan negeri,” ujarnya.