Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, selain bukti saintifik industri tersebut yang sudah pasti berubah corak pada masa akan datang perlu diberi sokongan khususnya dari segi model pembangunan perniagaan, khidmat bimbingan dan nasihat, dana serta kemudahan bertaraf antarabangsa.

Katanya, kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang memiliki kepelbagaian biodiversiti yang tinggi memberi satu pemangkin kepada usaha melahirkan usahawan berasaskan herba.

“Bagi tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang, industri herba tidak hanya boleh bergantung kepada testimoni manusia untuk bersaing.

“Untuk itu industri herba perlu sokongan bukti teknikal dan saintifik kerana waktu itu, bukti saintifik lebih dapat meyakinkan masyarakat,” katanya selepas menghadiri Program Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bertajuk: Aplikasi STI Pemangkin Produktiviti dan Daya Saing Perusahaan di Dewan Taming Sari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini baru-baru ini.

Sesi TN50 yang dihadiri hampir 100 peserta itu melibatkan penyertaan peserta daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negeri ini dan dikendalikan oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Melaka, Abd. Jameel Abd. Jabar selaku moderator.

Menurut Abu Bakar, untuk berkembang ke pasaran global, penyelidikan untuk meningkatkan kualiti, piawaian, keberkesanan dan keselamatan produk tempatan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Tambah beliau, pada masa akan datang, pengguna komited terhadap penghasilan produk yang berkualiti tinggi, bersih, selamat dan halal, menepati piawaian antarabangsa dan tempatan.

“Bukti saintifik amat membantu pengusaha industri herba untuk berdiri teguh dalam menyediakan platform yang selesa untuk memulakan perniagaan serta membantu dari segi latihan perniagaan dan promosi produk secara berterusan,” katanya.