Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, usaha perlu digandakan ke arah itu kerana pertambahan pengguna pasti akan menyebabkan keadaan sedikit berbeza berbanding jumlah biasa.

Menurutnya, usaha penambahbaikan itu akan dilaksanakan secara berterusan termasuk membuka semua kaunter pemeriksaan imigresen bagi memberi lebih ruang kepada bot atau feri besar membawa penumpang melalui jeti ini.

“Pemeriksaan imigresen akan dipermudahkan bagi melancarkan urusan di sini namun dalam masa sama jabatan bertegas tidak akan berkompromi melibatkan isu kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka di Banda Hilir, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Fauzi Abdullah.

Jelas Mustafar, beliau berpuas hati dengan hasil lawatan kerja ke kompleks itu termasuk operasi Jabatan Imigresen dan kerjasama melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Laut.

Tambah beliau, daripada segi hospitaliti dan logistik, kerajaan Pusat telah mewujudkan satu idea yang bernas apabila membina ICQS di negeri ini sebagai lokasi pelabuhan bot-bot serta feri membawa pelancong, sekali gus meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung ke Melaka.

“Apa yang penting adalah usaha menjaga kedaulatan dan keselamatan tanpa kompromi ini perlu melibatkan semua pihak,” tambahnya.

Pada masa ini, terdapat dua perkhidmatan feri di ICQS Melaka iaitu untuk laluan ke Dumai dan Bengkalis, Indonesia.

Sepanjang 2017, Jabatan Imigresen Melaka merekodkan sebanyak 101,535 pergerakan masuk keluar penumpang cruise dan 141,601 pergerakan masuk keluar penumpang feri melalui Kompleks ICQS Melaka. - UTUSAN ONLINE