Timbalan Presiden Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pihak­nya turut melihat peningkatan kesedaran ibubapa dalam memberi galakan kepada anak-anak untuk bermain bola sepak satu petanda positif terhadap pembangunan bola sepak negara pada masa hadapan.

“Sokongan dan dorongan ibu bapa terhadap minat anak-anak mereka dalam bola sepak juga memainkan peranan penting untuk mereka lebih maju dalam sukan ini dan secara tak langsung membantu pembangunan akar umbi bola sepak negara.

“Penganjuran lebih banyak kejohanan bola sepak di pe-ringkat akar umbi dilihat sebagai platform terbaik kepada pemain-pemain muda khususnya kanak-kanak untuk membina keyakinan diri ketika beraksi dan seterusnya dapat memajukan diri untuk menjadikan bolasepak sebagai karier.

“Saya berharap menerusi pe­nganjuran lebih banyak kejo­hanan bola sepak di peringkat akar umbi dapat membina keyakinan diri dan melahirkan pemain berkua­liti setanding le­genda bola sepak negara Allahyarham Mokhtar Dahari atau le­genda Singapura, Fandi Ahmad,” katanya ketika berucap me­rasmikan Kejohanan Bolasepak Kiddo Kickers-Persa­tuan Bolasepak Melaka United (MUSA) di sini, baru-baru ini.

Dalam kejohanan yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Pernu, Telok Mas itu lebih 30 pasukan kelab dan akademi bola sepak dari seluruh negara serta jiran Indonesia dan Singapura mengambil bahagian.

Pertandingan anjuran Kiddo Kickers dengan kerjasama MUSA serta I-17 Sports Sdn. Bhd. itu memperkenalkan empat kategori iaitu Bawah 16, B-12, B-10 dan B-8 tahun.

Dalam kategori Bawah 16 Tahun Kiddo Kickers menewaskan Kelab Remaja Shah Alam (KRSA) dalam penentuan sepakan pe­nalti, 3-1 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa penuh perlawanan.

Manakala kategori Bawah 12 Tahun KRSA menewaskan North Lion Perlis juga dalam penentuan sepakan penalti 2-1 selepas terikat 0-0.