Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob berkata, cadangan pembinaan hospital kerajaan dilihat mampu menampung keperluan pesakit di seluruh negeri ini dengan kemudahan perubatan berkualiti tinggi.

Menurutnya, sehingga kini terdapat sebanyak 1,389 buah katil di semua hospital kerajaan seluruh Melaka dan jumlah berkenaan tidak dapat menampung jumlah keseluruhan kemasukan wad sebanyak 87,630 pesakit yang dica­tatkan tahun lalu.

“Sementara itu, sebanyak 2.3 juta pesakit luar turut direkodkan menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan sedia ada sepanjang 2015.

“Justeru, saya yakin dengan memperluas kapasiti dan menaik taraf kemudahan sedia ada, Melaka dapat meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Speaker DUN, Datuk Othman Muhamad.

Menurut Mohd. Khalil, cada­ngan pembinaan hospital baharu itu dilihat dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri itu termasuk pelajar dan warga asing berpeluang menikmati perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti pada kos berpatutan yang disediakan pihak kerajaan mahupun swasta.

Sementara itu katanya, hospital swasta di negeri itu juga turut mendapat permintaan terutama daripada pesakit luar yang memilih untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang memuaskan dan terbaik di negeri itu.

“Selain hospital kerajaan, kedudukan hospital swasta di ne­geri ini juga berpotensi cerah kerana kedatangan pesakit luar yang memilih untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik di Melaka,” katanya.

Pada 2014, kerajaan negeri telah mengemukakan empat tapak kepada kementerian bagi pembinaan hospital baharu berkenaan.

Dua tapak di Gapam, Ayer Keroh masing-masing membabitkan keluasan 35 dan 18 hektar, satu tapak di Autocity Melaka melibatkan kawasan 26 hektar serta satu lagi tapak di Jasin Bistari (62 hektar).