DATUK TEY KOK KIEW
DATUK TEY KOK KIEW 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di dua kawasan di negeri ini yang semakin meningkat.

Katanya, bagi kawasan mencecah IPU melebihi rekod bacaan 101-200, pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan luar kelas serta menggesa pihak berkaitan menutup sementara operasi institusi pendidikan.

“Pihak sekolah diingatkan perlu untuk menutup sementara sekolah jika IPU melebihi 200 di kawasan atau daerah terbabit.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT), JAS dan semua agensi terlibat sudah bersiap siaga bagi memastikan keadaan udara lebih baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Hasil semakan di laman web IPU, Melaka merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 106 di Alor Gajah dan 115 di Bukit Rambai, manakala di bandar raya Melaka mencatatkan 93 setakat pukul 5 petang tadi.

Beliau turut mengingatkan orang awam di negeri itu supaya mengambil langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan ketika menghadapi musim kemarau ketika ini.

“Kurangkan aktiviti luar, banyakkan minum air masak dan elakkan pembakaran terbuka kerana tahap pencemaran udara di Melaka semakin teruk ketika ini,” katanya.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http:/apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa atau mendapatkan maklumat cuaca terkini. - UTUSAN ONLINE