Program yang masuk tahun ke­dua diadakan itu dilaksanakan bersempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia yang jatuh pada tarikh tersebut.

Program inisiatif membaca ini dengan konsep berhenti sebentar dan membaca selama 10 minit berlaku di seluruh Malaysia dan di pelbagai lokasi dikelolakan oleh Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia dan semua perpustakaan awam di negara ini.

Walaupun dalam tempoh yang singkat, ia adalah sokongan daripada semua pihak termasuk perpustakaan awam negeri untuk bersama-sama kerajaan dalam meningkatkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat.

Di Melaka, program Jom Baca Bersama untuk 10 minit berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (Perpustam) di Bukit Baru di sini dan disertai kira-kira 300 murid dan pelajar sekolah, guru serta kakitangan agensi kerajaan apabila masing-masing membaca pelbagai jenis bahan selama 10 minit bermula pukul 10 hingga 10.10 pagi.

Pengerusi Perpustam, Datuk Amiruddin Yusof dalam ucapannya selepas program itu berkata, kempen itu adalah satu usaha untuk menjenamakan insiatif membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus menjadikan perpustakaan awam sebagai sebuah organisasi yang masih relevan dalam proses pembelajaran sepanjang hayat.

Katanya, kempen ini melibatkan segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pemimpin hinggalah kepada penduduk di kampung dan di pelbagai lokasi seperti jabatan kerajaan, swasta, sekolah dan pusat beli-belah.

“Perpustam telah memperluaskan sasaran serta lokasi untuk menyeru semua masyarakat mengambil bahagian dalam kempen ini bagi mencatatkan kenaikan penyertaan sebanyak 10 peratus berbanding kali pertama dilaksanakan tahun lalu.

“Sambutan yang diterima dalam program Jom Baca Untuk 10 Minit ini tahun lalu amat menggalakkan apabila sebanyak 136,786 penduduk mengambil bahagian. Kita optimis untuk meningkatkan angka tersebut tahun ini dengan kerjasama yang diberikan Jabatan Pendidikan negeri menjayakan program ini di sekolah,” katanya.

Program peringkat negeri Melaka itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri apabila dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Pengarah Perpustam, Mohamed Aizamuddy Mohamed Idris.

Pada program, kira-kira 15 buah sekolah dari seluruh Melaka menghantar guru dan pelajar masing-masing sebagai wakil untuk me­nyertai kempen tersebut.

Sementara itu mengulas mengenai langkah yang diambil oleh Perpustam bagi menyemai semangat membaca, Amiruddin berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk membangunkan rangkaian perpustakaan di seluruh negeri agar semua penduduk berpeluang mengakses sumber itu tanpa halangan atau sekatan.

Sehingga hari ini, kata beliau, Perpustam mempunyai 70 rangkai­an perpustakaan di seluruh negeri yang merangkumi sebuah perpustakaan negeri di Melaka Tengah, empat buah perpustakaan cawangan di daerah Jasin, Merlimau, Masjid Tanah dan Alor Gajah.

“Selain itu Perpustam turut mempunyai dua buah perpustakaan pekan yang terletak di Selandar dan Telok Mas dan kita juga membuka perpustakaan komuniti di kompleks beli-belah Melaka Mall dan Aeon bandar raya serta di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.

“Perpustam juga telah menubuhkan sebanyak 27 rangkaian perpustakaan desa di seluruh negeri dan turut menguruskan 28 buah perpustakaan desa Perpustakaan Negara Malaysia. Kita juga menguruskan dua buah perpustakaan bergerak di Jasin dan Masjid Tanah serta dua bas e-Pustaka yang dilengkapi kemudahan membaca, komputer dan Internet di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Aizamuddy ketika ditemui berkata, bagi menyemai minat membaca dalam kalangan penduduk pihaknya kini telah memberi wajah baharu kepada Perpustam iaitu dengan menyediakan kelengkapan Internet serta era digital terkini kepada pengunjung.

“Antara langkah yang diambil bagi menarik lebih ramai pengunjung adalah menyediakan kemudahan gimnasium dan tempat makan yang selesa kepada orang ramai.

“Perpustam juga menyediakan kemudahan paparan skrin tiga dimensi (3D), panel skrin leper pada komputer dan pakej tayangan filem kepada pengunjung pelbagai pe­ringkat usia,” katanya.

Beliau berkata, meskipun ber­depan dengan cabaran menarik pe­ngunjung untuk datang ke perpustakaan awam berikutan ledakan teknologi moden, Perpustam mampu mencatat jumlah pengunjung yang besar dan meningkat setiap tahun.