Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, penyebaran maklumat terutamanya yang diklasifikasikan sebagai sulit bukan sahaja akan mengganggu proses siasatan dan pendakwaan malah akan membuka peluang kepada penjenayah merangka strategi tertentu untuk melarikan diri.

Menurutnya, maklumat berkenaan bukan merupakan kenyataan rasmi untuk dikongsikan dengan orang ramai malah lebih kepada maklumat perkembangan siasatan untuk pengetahuan dan tindakan pegawai tertentu sahaja.

"Seiring dengan perkembangan teknologi hari ini, penggunaan media sosial tidak boleh dinafikan kepentingannya namun apabila ia tidak digunakan secara berhemah atau disalahgunakan akan mendatangkan kesan yang negatif serta boleh menggugat kesejahteraan umum.

"Tindakan tatatertib akan dikenakan kepada anggota dan pegawai polis sekiranya membocorkan maklumat melibatkan kes dan siasatan," katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain menyebarkan maklumat berhubung siasatan pihak polis, setiap anggota dan pegawai juga dilarang untuk menghebahkan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum melalui media sosial serta tidak sesekali terlibat dengan penyebaran foto atau video berunsur lucah.

Katanya, tindakan demikian bukan sahaja menjejaskan imej pasukan polis malah boleh mengundang kepada ketidakstabilan keselamatan dan keamanan dalam negara ini.

"Saya juga ingin menyeru kepada semua anggota dan pegawai supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana individu atau kumpulan yang mengajak untuk menyertai aktiviti pengganas melalui media sosial dan sekiranya perlu segera membuat laporan polis," katanya.

Pada perhimpunan itu, seramai 229 anggota dan pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 44 orang menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Melaka.