Pengarahnya, Datuk Dr. Ghazali Othman berkata, Skuad Khas Drone Peninjau Aedes yang ditubuhkan itu akan menggunakan sebuah unit alat penerbangan kawalan jauh atau drone untuk memantau kawasan serta premis yang sukar untuk dicapai.

Ghazali berkata, penggunaan teknologi drone dalam operasi pemantauan diharap akan melancarkan usaha membasmi pembiakan nyamuk aedes terutama yang terletak di dalam kawasan persendirian, bangunan tinggi dan premis terbiar.

“Kebolehan alat kawalan jauh bukan sahaja pada kebolehan untuk bergerak bebas bahkan ia mampu merakam gambar dan video untuk sebarang kegunaan pada masa depan.

“Skuad ini dianggotai oleh lima anggota penguat kuasa yang bertanggungjawab menjalankan pemetaan gambar di setiap lokasi yang dilanda wabak denggi merangkumi kawasan seluas 100 hingga 200 meter persegi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Skuad Khas Drone Peninjau Aedes semasa Majlis Perhimpunan Bulanan PKDMT di Kolej Perubatan Manipal Melaka, Jalan Padang Jambu, Bukit Baru baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abdul Rahman dan Pegawai Kesihatan Epidemiologi PKDMT, Dr. Noor Aizam Md. Said.

Dalam pada itu, Ghazali berkata, kes denggi di negeri itu mencatatkan penurunan sebanyak 72 kes sehingga 7 Februari lalu berbanding 248 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, menurut peaandian sebanyak enam kawasan dikategorikan sebagai zon panas pada tahun ini antaranya di Taman Merdeka Jaya, Taman Saujana 3, Taman Melaka Baru dan Pangsapuri Kota Laksamana.